Selesai solat dan doa di
Multazam, kami pergi pula ke satu lagi tempat mustajab untuk berdoa iaitu di hujung
Kaabah sebelum masuk ke pintu Hijr Ismail. Dikatakan di tempat ini pernah Jibrail
mengimami Rasulullah SAW. Sekali lagi kami diberi ruang dan kesempatan untuk memegang
Kiswah, mengucupnya sambil berdoa tanpa ada apa-apa halangan. Di Hijr Ismail,
keadaan agak tegang dengan puluhan yang mahu masuk dan keluar daripada pintu
yang agak sempit. Di situlah terpesong niatku untuk menjaga Nora agar tidak dipengapa-apakan.
Di tengah-tengah puluhan orang yang agak sukar walaupun untuk ruku’, terbuka satu
ruang untuk Nora bersembahyang dan berdoa. Habis sahaja dia bangun, ruang itu tertutup
dengan sendirinya. Maka hilang peluang aku pada subuh itu..
Sepanjang berada di Mekah aku berpeluang
ke Hijr Ismail, mengucup dan berdoa di sisi Kaabah tidak kurang daripada tiga
kali.
Habis di Hijr, kami ke rukun
Yamani untuk berdoa. Sekali lagi keadaan amat-amat sesak kerana di situ juga adalah
tempat yang makbul segala permintaan. Kami juga berpeluang berdoa di situ juga
tanpa banyak halangan. Namun kami awal-awal lagi tidak berhajat ke Hajarul
Aswad melihatkan gaya Jemaah yang berpusu-pusu, tolak menolak dan adanya konspirasi
daripada warga Indonesia yang akan meminta duit sekitar 250 – 300 SR sekiranya pertolongan
diberikan. Aku pernah berkesempatan bersembang dengan seorang warga muda
Indonesia yang menyatakan kekesalannya kerana menggunakan khidmat konspirasi itu
secara tanpa sedar. Dia mengeluh kerana katanya perbuatan mereka menolak dan menggunakan
kekasaran adalah haram di sisi agama
semata-mata hanya kerana mahukan imbuhan wang. Dia juga tidak pasti apakah
amalan sunatnya di Hajarul Aswad akan diterima oleh Allah..
Selesai dengan urusan Kaabah,
kami berdua membaca Yaasin dan ayat-ayat suci Al Quran betul2 di depan Kaabah (kira-kira
100m dan biasanya bertentangan dengan rukun Yamani). Habis bacaan kami teruskan
dengan solat-solat sunat dan qiamullail sehinggalah kedengaran azan yang
pertama sekitar jam 3.45am. Lazimnya azan subuh diperdengarkan dua kali. Habis
azan yang pertama, Jemaah wanita akan diminta meninggalkan kawasan tawaf dan hanya
Jemaah lelaki dibenarkan berada di situ. Nora akan mengambil tempat yang paling
depan setiap kali sembahyang waktu kerana katanya bersembahyang dengan mata memandang
Kaabah lebih menenangkan. Aku amat2 bersetuju...
Babus King A Aziz...
Saf depan waktu subuh...
Sebahagian dari Bukit Safa. Berhenti seketika cuba menimaginasikan keadaan Siti Hajar ditinggalkan di tengah padang pasir (walaupun dengan kerelaan hatinya) bersama-sama anak kecilnya, tanpa air, tanpa makanan....Apa alasan yang boleh aku berikan untik tidak boleh menghabiskan sai'e walaupun sedang diarrhea?
Waktu senja dari paras dua Masjidil Haram..
Selesai Subuh kami berpakat berjumpa di bawah jam kecil di dataran yang mengadap ke bangunan jam paling besar dan tertinggi di dunia. Berbondong-bondonglah kami balik semula ke hotel untuk makan pagi yang disediakan oleh pekerja-pekerja dari Indonesia yang juga merupakan ‘money changer’ kami. Sekiranya kami bercadang melakukan umrah sunat, kami akan ke Masjid Tane’em berdekatan (sekitar 3km) untuk bermiqat pada pukul 6.30 pagi dan menghabiskan Tawaf, Sai’e dan Tahallul sekitar jam 10.30 pagi. Tidak digalakkan Jemaah pergi berseorangan tanpa rakan-rakan kerana ada juga pemandu yang mengambil kesempatan terhadap Jemaah-jemaah.
Itulah rutin kami dari pagi sampailah ke subuh. Sepanjang 8 hari di Mekah, kami
berkesempatan melakukan 7 kali tawaf.
p/s – Ketakwaan yang murni dan sejati amat diperlukan bagi memastikan ibadah umrah yang dilaksanakan itu mampu menjadi pemangkin atau mekanisme pembentukan diri sebagai muslim yang sejati. Hanya dengan sifat2 itu sahaja para jemaah dapat menghayati dan bersabar dengan segala manhaj atau ibadah yang sukar seperti bertawaf, sai'e, tahallul dsbgnya. Wallahhuaklam...Esok2 sambung lagi…
No comments:
Post a Comment