Showing posts with label Rasulullah. Show all posts
Showing posts with label Rasulullah. Show all posts
October 26, 2012
June 10, 2012
OMRA 2012 (Finale)
Panjang sungguh posting ini. Sebagai finalenya, berikut adalah beberapa
penghayatan dan pengertian bagi ibadah umrah bagi diriku yang boleh dikongsi
bersama dengan pembaca: -
Sesiapa yang
menunaikan haji dan umrah adalah tetamu Allah dan hadir kerana jemputanNya.
Selama ini telah banyak kali bonus yang diterima, duit yang telah cukup tapi
sekiranya tidak dijemput, maka tiadalah kesempatan untuk kita ke sana. Sebagai
hambaNya kita perlu banyak berdoa, berharap dan sentiasa bersedia kerana
sekiranya kita telah dijemput, segala-galanya di dunia ini akan kita tinggalkan
untuk menerima jemputan itu. Namun tidaklah layak kita berpergian sejauh
Baitul Haram dengan segala dosa dan kekejian yang masih berdaki di hati dan
fizikal kita. Jadi, perbanyakkanlah berdoa dan bertaubat. Keikhlasan hati adalah
antara penyebab kepada segala urusan kita dipermudahkan Allah SWT di Tanah Suci
Mekah.
Ilmu
pengetahuan (be it fikh, tasawuf atau tauhid) amat-amat perlu bagi mendapatkan
penghayatan dalam melakukan ibadah. Seseorang tidak akan terkesan dengan segala
perbuatan umrah dan haji apatah lagi menghayatinya tanpa ilmu pengetahuan bagi
sebab-sebab perlakuan umrah dan haji tersebut. Contohnya berlari-lari anak di
antara Safa & Marwah, Intipati doa tawaf setiap pusingan hatta beribtidda
bagi orang laki-laki. “Dan hendaklah kamu membawa
bekal dengan secukupnya, kerana sebaik-baik bekal itu ialah Takwa (memelihara
diri), dan bertakwallah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat
memikir dan memahaminya).” petikan daripada Surah al-Baqarah
ayat 197.
PENYERAHAN DIRI
Hidup ini
adalah penyerahan diri secara total kepada qada’ dan qadar Allah SWT iaitu sebagai
hamba kepada penciptanya. Segala ibadah hanya kepada Allah, segala permintaan
hanya kepadaNya. Begitulah konsep penyerahan diri secara ikhlas yang sepatutnya dilakukan terhadap Allah
SWT tanpa meninggalkan doa dan harapan. Berserahdirilah
kepada ketentuan-ketentuanNya, hukum-hukumNya, dan takdirNya. Setiap jiwa di
Tanah Haram akan merasai ujian dan setiap ujian itu harus ditangani dengan
konsep penyerahan diri ini. Setiap ujian adalah kifarah. Justeru kepayahan,
kesakitan, tekanan yang wujud semasa, sebelum atau selepas menunaikan haji dan
umrah adalah ujian Allah SWT untuk hamba-hambaNya. Sebagaimana yang terdapat dalam
sebuah hadis sahih daripada Abu Hurairah dan Abu Said Al-Khudri bahawa
Rasulullah SAW telah bersabda “Tidaklah seorang mukmin
dilanda kecemasan, kelelahan dan kesedihan, melainkan Allah SWT akan
menghapuskan segala kesalahannya.”
Ibadah umrah
dan haji mampu menjadi agen perubahan kepada keperibadian makhluk Allah. Itulah
yang dapat aku rasakan sehingga posting ini ditulis. Esok-esok aku berserah
lagi kepadaNya tetapi doaku untuk sentiasa diberikan petunjuk ke jalan yang benar tidak akan lagi lekang dari bibir. Kalaulah aku tahu ibadah umrah ini mampu mengubah
keperibadianku sebegini rupa, sepatutnya dari dulu lagi aku patut ke sana. Apabila kita mampu membuat diri terasa berdosa ianya adalah
hasilan dari sifat terpuji yang telah kita miliki. Ianya jelas merupakan agen
perubahan terbesar yang terhasil daripada ibadah umrah tersebut.
Berdoa dan
bertaubatlah dengan sebenar-benarnya kerana segala permintaan InsyaAllah akan
dikurniakan oleh Allah. Begitulah juga halnya walaupun kita tidak lagi berada
di Tanah Haram. Berdoalah kita sentiasa kerana Allah SWT pasti menunaikannya dengan
caraNya yang tersendiri.
Mengunjungi
Rasulullah SAW seolah-olah seperti kita bersemuka dengan Baginda. Namun hati
yang keras dengan segala macam dosa tidak akan dapat melihat Baginda seperti
yang sepatutnya. Jadi banyakkanlah mendengar kisah2 Baginda, banyakkanlah
memahami jerih payah SAW meninggikan syiar Islam sehingga kita ini diberikan
harta yang paling berharga – iaitu dilahirkan menjadi seorang Muslim. Begitu
juga dengan pengorbanan dan perjuangan sahabat-sahabat serta teman perjuangan
Rasulullah SAW patutnya dihayati dengan penuh keinsafan dan kesyahduan.
P/s – sebagai
panduan untuk diri ini (juga anda perhaps)..
May 28, 2012
Omra 2012 (Part 6)
Hari-hari seterusnya di
Madinah, kami berpeluang menziarahi tempat2 yang penuh dengan sejarahnya yang
tersendiri. Masjid Quba, Qiblatain, Masjid tujuh dan Gunung Uhud. Terbayang
kehebatan Singa Allah di medan perang Uhud walaupun dia akhirnya tewas dek
kesilapan pasukan pemanah. Kami tidak sempat ke tempat2 lain disebabkan salah
seorang Jemaah tiba2 gagal dikesan sewaktu di Masjid Quba. Setelah dua jam di
sana mencari di setiap arah, akhirnya beliau diberitakan telah kembali semula
ke hotel bersendirian. Mutawif pulak tidak mahu kami terlepas menunaikan sembahyang
di Masjid Nabawi, maka tidaklah dapat kami menziarahi semua tempat2 yang sepatutnya
dilawati.
Pagi akhir sebelum bertolak
pulang, aku sekali lagi ke Masjid untuk bertemua Nabi mengucapkan selamat
tinggal kepada Baginda. Sedih sungguh meninggalkan Kota Madinah dan isinya
apatah lagi memikirkan mungkin tiada lagi kesempatan untuk datang ke sini. Aku
berdoa di Raudhah agar aku dipertemukan lagi dengan Rasulullah SAW. Itu saja
yang termampu kulakukan. Sebelum itu, aku berkesempatan ke perkuburan Baqi’ melawat
para Syuhada’ dan Anbia yang tenang di sana menunggu2 masa sebelum
ditempatkan di Syurga.
Tengahhari 30hb kami berangkat
pulang ke Malaysia. Maka bermulalah episod baru kehidupan seorang manusia yang
bernama Fadil Ariff… InsyaAllah!!
Tempat bersemayamnya Penghulu para Syuhada'. Pernah sebelum itu terjadi banjir besar di kaki bukit Uhud. Dengan izin Allah, terkeluarlah semula jasad antara 70 para Syuhada' termasuklah jasad Saidina Hamzah. Walaupun selepas beberapa lama, jasadnya masih elok malah masih ada kesan2 luka dan berdarah...
Model sambilan...
Di suatu pagi yang tenang di perkuburan Baqi'..tempat tinggal sementara lebih 10,000 tabiin, anbia, sahabat2, isteri2 dan keluarga nabi..
bergambar bersama pakcik & makcik Norela dari Shah Alam yang menganggap kami berdua sebagai anak angkat mereka...
P/s - dah nak balik...baru teringat Raischa..
May 27, 2012
Omra 2012 (Part 5)
Madinah agak berbeza dengan
Mekah. Tiada lagi gerombolan dan hiruk pikuk manusia. Tiada lagi kedengaran pak
polisi mengalunkan perkataan “Hajjah..hajjah..Hajj..hajj” menyuruh Jemaah
beredar atau pemandu teksi yang sentiasa membunyikan hon (teringat driver
Salman semasa di Karachi yang selalu membunyikan hon keretanya, kadang2 hanya
kerana suka-suka!!). Kalau pun ada semuanya agak bersopan. Agak hampir juga hotel
Ishraq Al Madinah kami dengan Masjid Nabawi. Kusimpulkan, semuanya agak tenang
di Madinah. Hari pertama, kami ke Raudhah pada jam 8 pagi di bawa oleh Mutawif
yang sama. Masa itu merupakan masa yang paling sesuai (bagi kaum lelaki sahaja)
untuk bersolat di Raudhah kerana kurang sesak dengan Jemaah. Namun bagi kaum
Hawa, beribadah di Raudhah bukanlah sesuatu yang mudah disebabkan oleh prosedur
yang ketat oleh pihak pengurusan Masjid. Sepanjang berada di sana, aku sempat
bersembahyang di Raudhah sebanyak tujuh kali, berdoa dan berdoa.
Aku berkesempatan untuk membawa
buah kurma (yang juga kubawa bertawaf di Masjidil Haram) di Raudhah. Buah2
kurma ‘special’ itu kudoakan untuk kesejahteraan keluarga yang terdekat dan
sahabat yang handai.
Setiap kali ke Masjid aku akan
cuba samada ke Rudhah atau berjumpa dengan Rasulullah. Setiap kali berjumpa
Baginda, aku rasakan keadaan lebih baik dari sebelumnya. Kalau hari ini penuh
dengan malu, kali kedua perasaan malu itu berkurangan dan digantikan pula
dengan ketenangan dan emosi. Bukan mudah untuk berjumpa Rasulullah rupanya.
Kalaulah ditakdirkan aku ke Madinah dulu, mahu aku malu untuk berjumpa dengan
Nabi kerana aku merasakan ‘pakaian’ku penuh dengan kekotoran. Namun, setelah
agak yakin semua ‘kekotoran’ itu kutinggalkan di Mekah, aku agak berkeyakinan
untuk bertemu dengan Baginda.
Maqam Nabi SAW, Abu Bakar & Umar..
Raudhah...
Keindahan Masjid Nabawi tiada taranya. Itu belum lagi kalau berada di dalamnya..
Di
Madinah aku keseorangan tanpa ditemani oleh Nora yang masuk ke Nabawi dari
pintu yang berlainan (walaupun balik ke hotel bersama2). Jadi aku kerjakan
ibadahku bersendirian. Kalau di Mekah aku berjumpa dengan Uncle Hailem dari
Algeria (bercerita tentang kisah2 kemerdekaan kedua2 negara) atau Pakcik Umer
dari Sri Langka (yang berumur 71 tahun tapi masih kuat mengerjakan umrah)
tetapi di Madinah aku keseorangan. Jemaah2 Malaysia pun sudah kelihatan berkurangan.
Walau bagaimanapun, Masjid Nabawi tidak pernah lokek dengan orang2 buta, orang2
yang cacat, orang tua bongkok dan anak2 kecik yang bersama2 bapanya sama
keadaannya seperti di Masjidil Haram. Semua orang mahu bersembahyang dan semua
orang tidak mahu ketinggalan untuk beribadah.
P/s - Apa alasan aku untuk tidak ke
masjid selepas ini??
May 25, 2012
Omra 2012 (Part 4)
Sepanjang berada di Mekah kami
juga dibawa ke tempat2 yang afdal untuk diziarahi seperti Jabal Tsur, Jabal
Rahmah, Masjid Jiranah, Masjid Aisyah, ladang unta, dsbgnya. Sekiranya
diberikan pilihan, bagi aku, amat sesuai sekali sekiranya umrah ini dilakukan
di Mekah dahulu sebelum meneruskannya ke Madinah. Ini kerana keadaan spiritual
kita akan lebih baik selepas mengerjakan ibadah di Tanah Haram sebelum pergi
bertemu dengan Baginda Rasulullah di Madinah. Hati akan mudah tersentuh dan
menginsafi diri terutamanya bila kita dibawa untuk melihat Jabal Tsur
contohnya, yang menempatkan Gua Tsur yang menjadi tempat persembunyian Nabi
Muhammad (SAW) dan Saidina Abu Bakar. Cerita burung merpati, cicak, labah2, kala jengking semuanya menjadi penyedap cerita mutawif kami yang berasal dari Indonesia, Ustaz Ariffin.
Mengimaginasikan kekuatan hati
Saidatina Khadijah turun naik gunung itu semata-mata untuk membawakan makanan
kepada suami tercinta mampu meleburkan hati yang egoistic. Padang Arafah yang
cukup luas dan cerita bagaimana bertemunya Adam dan Hawa selepas terpisah 200
tahun juga sesuatu yang menakjubkan (walaupun org rumah tidak mahu lama-lama di
Jabal Rahmah!!). Melihatkan ketinggian Jabal Nur menguji minda kita bagaimana
Rasulullah turun sambil berlari daripada bukit tersebut yang agak tinggi
selepas menerima wahyu yang pertama. Semua yang dilakukan Baginda hanyalah untuk
menegakkan Islam di muka bumi ini. Jadi setelah semuanya ini dapat melenturkan
hati yang keras, tiada yang akan tidak menangis contribution Nabi SAW ketika melawat beliau di Madinah.
Aku seperti biasa gagal menahan emosi bila aku 'berbicara' dengan Nabi di maqam Baginda..
Selepas tawaf wida' di tengah panas terik matahari..Pun begitu batu2 yang di pijak terasa sejuk dan menyenangkan.
Ketinggian Gunung Tsur jelas kelihatan..
Jabal Rahmah dari kaki bukit. Ramai juga yang naik ke atas tapi rombongan kami terlalu ramai (10 bas). Kalau ada yang naik pasti petang pun belum tentu ada yang turun..
Lebih baik jual unta dari jual orang..kata Pak Tongko.
Asalnya geng2 Baling ni duduk paling belakang kalau beribadah di Baitul Haram. Rezeki mereka mengikuti kami ke Tane'em, selepas itu kami bawa mereka sampai ke Kiswah Kaabah. Menangislah mereka bersyukur kerana akhirnya permintaan mereka termakbul. Aku dan Nora sangat2 merasa gembira kerana kami dapat menjadi platform kepada permintaan mereka.
Di perjalanan antara Mekah dan Madinah, kami singgah di R&R di tengah2 padang pasir. Teringatlah kami kepada Aiskrim Mekah, Ayam Golek peniaga Afghanistan serta semua makanan2 sedap di tempat penginapan..
Melakukan ibadah di Mekah
sangat mengujakan tapi aku tidak tahu sekiranya bila kembali ke tanah air nanti
ianya akan berkekalan. Aku hanya boleh berdoa agar amalan ku ini berterusan.
Tidak ketinggalan juga banyak barang2
yang boleh dibeli di Mekah & Madinah. Kalau hendak membeli barang biarlah
di Madinah kerana ianya lebih murah, mudah tawar menawar dan banyak pilihan.
Kami juga tidak ketinggalan memborong.
Keseronokan berakhir pada hari
kelapan di mana hari Jumaat tersebut merupakan hari terakhir kami di Kota Suci
itu. Sebelum sembahyang Jumaat, kami menghabiskan 5 pusingan tawaf wida’ dan
dua lagi selepas habis sembahyang. Perjalanan ke Madinah mengambil masa 8 jam
menempuhi padang pasir yang meluas. Selamat tinggal Mekah. Syurga dunia bagi
kami. Di perjalanan (selepas melintasi Tanah Haram) tak henti2 kami bercerita
tentang kehebatan dan keajaiban Mekah serta isinya. Tak henti2 Nora
mengingatkan aku untuk menyimpan duit untuk datang semula ke kota ini dalam
masa yang terdekat. Aku menganguk amat2 setuju...
p/s - pandangan ku terhadap ibadah ini dan impaknya kepada diri..InsyaAllah dalam posting yang akan datang...sebelum tu crite kat Madinah la dulu..
Omra 2012 (Part 3)
Selesai solat dan doa di
Multazam, kami pergi pula ke satu lagi tempat mustajab untuk berdoa iaitu di hujung
Kaabah sebelum masuk ke pintu Hijr Ismail. Dikatakan di tempat ini pernah Jibrail
mengimami Rasulullah SAW. Sekali lagi kami diberi ruang dan kesempatan untuk memegang
Kiswah, mengucupnya sambil berdoa tanpa ada apa-apa halangan. Di Hijr Ismail,
keadaan agak tegang dengan puluhan yang mahu masuk dan keluar daripada pintu
yang agak sempit. Di situlah terpesong niatku untuk menjaga Nora agar tidak dipengapa-apakan.
Di tengah-tengah puluhan orang yang agak sukar walaupun untuk ruku’, terbuka satu
ruang untuk Nora bersembahyang dan berdoa. Habis sahaja dia bangun, ruang itu tertutup
dengan sendirinya. Maka hilang peluang aku pada subuh itu..
Sepanjang berada di Mekah aku berpeluang
ke Hijr Ismail, mengucup dan berdoa di sisi Kaabah tidak kurang daripada tiga
kali.
Habis di Hijr, kami ke rukun
Yamani untuk berdoa. Sekali lagi keadaan amat-amat sesak kerana di situ juga adalah
tempat yang makbul segala permintaan. Kami juga berpeluang berdoa di situ juga
tanpa banyak halangan. Namun kami awal-awal lagi tidak berhajat ke Hajarul
Aswad melihatkan gaya Jemaah yang berpusu-pusu, tolak menolak dan adanya konspirasi
daripada warga Indonesia yang akan meminta duit sekitar 250 – 300 SR sekiranya pertolongan
diberikan. Aku pernah berkesempatan bersembang dengan seorang warga muda
Indonesia yang menyatakan kekesalannya kerana menggunakan khidmat konspirasi itu
secara tanpa sedar. Dia mengeluh kerana katanya perbuatan mereka menolak dan menggunakan
kekasaran adalah haram di sisi agama
semata-mata hanya kerana mahukan imbuhan wang. Dia juga tidak pasti apakah
amalan sunatnya di Hajarul Aswad akan diterima oleh Allah..
Selesai dengan urusan Kaabah,
kami berdua membaca Yaasin dan ayat-ayat suci Al Quran betul2 di depan Kaabah (kira-kira
100m dan biasanya bertentangan dengan rukun Yamani). Habis bacaan kami teruskan
dengan solat-solat sunat dan qiamullail sehinggalah kedengaran azan yang
pertama sekitar jam 3.45am. Lazimnya azan subuh diperdengarkan dua kali. Habis
azan yang pertama, Jemaah wanita akan diminta meninggalkan kawasan tawaf dan hanya
Jemaah lelaki dibenarkan berada di situ. Nora akan mengambil tempat yang paling
depan setiap kali sembahyang waktu kerana katanya bersembahyang dengan mata memandang
Kaabah lebih menenangkan. Aku amat2 bersetuju...
Babus King A Aziz...
Saf depan waktu subuh...
Sebahagian dari Bukit Safa. Berhenti seketika cuba menimaginasikan keadaan Siti Hajar ditinggalkan di tengah padang pasir (walaupun dengan kerelaan hatinya) bersama-sama anak kecilnya, tanpa air, tanpa makanan....Apa alasan yang boleh aku berikan untik tidak boleh menghabiskan sai'e walaupun sedang diarrhea?
Waktu senja dari paras dua Masjidil Haram..
Selesai Subuh kami berpakat berjumpa di bawah jam kecil di dataran yang mengadap ke bangunan jam paling besar dan tertinggi di dunia. Berbondong-bondonglah kami balik semula ke hotel untuk makan pagi yang disediakan oleh pekerja-pekerja dari Indonesia yang juga merupakan ‘money changer’ kami. Sekiranya kami bercadang melakukan umrah sunat, kami akan ke Masjid Tane’em berdekatan (sekitar 3km) untuk bermiqat pada pukul 6.30 pagi dan menghabiskan Tawaf, Sai’e dan Tahallul sekitar jam 10.30 pagi. Tidak digalakkan Jemaah pergi berseorangan tanpa rakan-rakan kerana ada juga pemandu yang mengambil kesempatan terhadap Jemaah-jemaah.
Itulah rutin kami dari pagi sampailah ke subuh. Sepanjang 8 hari di Mekah, kami
berkesempatan melakukan 7 kali tawaf.
p/s – Ketakwaan yang murni dan sejati amat diperlukan bagi memastikan ibadah umrah yang dilaksanakan itu mampu menjadi pemangkin atau mekanisme pembentukan diri sebagai muslim yang sejati. Hanya dengan sifat2 itu sahaja para jemaah dapat menghayati dan bersabar dengan segala manhaj atau ibadah yang sukar seperti bertawaf, sai'e, tahallul dsbgnya. Wallahhuaklam...Esok2 sambung lagi…
Subscribe to:
Posts (Atom)



















