December 18, 2009

1 Muharram 1431


Aku menerima satu teks mesej daripada seorang sahabat berlainan agama mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah kepadaku dan keluarga. Maka ku balas ucapannya dengan mengharapkan agar Maal Hijrah tahun ini membawa kita berhijrah kepada kebaikan dan kesejahteraan. Inilah kali pertama aku menerima ucapan Maal Hijrah daripada seseorang yang bukan beragama Islam. Bukan sesuatu yang pelik tapi agak awkward sebab selalunya kemeriahan menyambut tahun baru hanya terasa sewaktu 1 Jan (mungkin aku juga patut berhijrah…)

Maal Hijrah sepatutnya membawa satu semangat baru kepadaku. Tapi bagaimana ya nak mendapatkan semangat tu? Teringat ada sebuah buku kisah hidup Nabi SAW di simpanan lalu selepas jemaah zohor kubacakan di hadapan anak-anak tentang penghijrahan junjungan besar dari Mekah ke Madinah. Semua orang tahu cerita itu, apa perlunya diceritakan di sini. Tapi boleh juga kalau sedikit dikupas untuk renungan bersama.

STRATEGI

Setelah berdakwah di Mekah selama lebih 13 tahun, Rasulullah SAW berpendapat tibalah masanya untuk mengembangkan sayap dakwahnya ke Yasrib (ditukarkan namanya kepada Madinah selepas itu). Mungkin ianya satu strategi baru mengambilkira pengaruh beliau yang agak kuat di Madinah berbanding Mekah (termeterainya Bai’at Aqobah I & II), dan juga mengambilkira ancaman kaum Quraisy Mekah yang semakin mencabar kecekalan Nabi dan sahabat-sahabat. Tambahan pula bapa saudara kesayangan Abu Tolib wafat ketika berusia 87 tahun yang lebih merupakan pembantu & perisai kepada Nabi SAW selama sebelum kewafatannya.

PENGORBANAN & PERJUANGAN

Tersebarnya berita penghijrahan Nabi juga dianggap sebagai satu ancaman kepada kaum Quraisy kerana takutkan pengaruh Islam dan penguasaan ekonomi yang akan dibawa Nabi SAW di Madinah. Maka pengorbanan Ali bin Abi Thalib, seorang anak muda yang sanggup menggantikan tempat Rasulullah walaupun tahu akibat dari kesanggupannya itu dianggap tiada bandingannya.

Rasulullah & Saidina Abu Bakar tahu penderitaan yang akan ditanggung meredah padang pasir, panas terik matahari, menuruni jurang dan menyusuri pantai Laut Merah dalam perjalanan ke Madinah. Diceritakan betapa hebatnya Abu Bakar menahan kesakitan tatkala diketit kala beberapa kali tanpa mahu menggerakkan tubuh badan beliau semata-mata tidak mahu Nabi terjaga dari tidur di ribaannya.

PERPADUAN

Kota Madinah merupakan sebuah kota perdagangan yang strategik dengan kebanyakan perniagaannya dikuasai oleh kaum Yahudi. Dalam membentuk masyarakat Islam yang bebas dari ancaman dan tekanan, Rasulullah menguruskan beberapa perkara antaranya mengadakan perjanjian bantu-membantu antara Ansor & Muhajirin serta menyusun dasar-dasar politik, ekonomi dan sosial dengan Daulah (pemerintahan) Islamiah. Namun perkara asas yang terlebih dahulu dilaksanakan Nabi adalah mendirikan masjid yang menjadi lambang penyatuan kaum dan sebagai venue untuk pembinaan benteng pertahanan bersifat moral & spiritual (semangat berjihad ke jalan Allah SWT). Pentauhidan adalah base sebelum turunnya wahyu yang mengandungi perintah berzakat, berpuasa dan hukum-hukum yang berlainan dengan perlanggaran/larangan juga jinayat dan lain-lain. Ayat-ayat yang diturunkan di Madinah sebahagian besarnya berkait rapat dengan pembinaan Hukum islam yang menetapkan dasar-dasar politik, ekonomi, sosial & kemasyarakatan.

Rasulullah juga membina persatuan kaum Ansor & Muhajirin dengan ikatan persaudaraan yang jitu. Persatuan inilah yang telah mengurangkan kekuatan kaum Yahudi baik dari segi pemerintahan & ekonomi. Perjanjian perdamaian bersama kaum Yahudi hanya dilakukan selepas terbentuknya persatuan yang kuat diantara Ansor & Muhajirin.

TAHUN BARU

Pernahkah kita terfikir tanpa strategi, pengorbanan, perjuangan dan perpaduan dari peristiwa Hijrah, mungkin Islam tidak sampai kepada kita, kita tersesat dan hanya tersedar setelah dibangkitkan semula di alam seterusnya?

Mungkinkah orang Melayu beragama Islam di Malaysia boleh merapatkan persatuan dengan ikatan persaudaraan yang jitu satu hari nanti, mengambil iktibar dari peristiwa Hijrah Rasulullah? Ataupun bila tiba waktu itu baru kita tahu yang negara telahpun tergadai?

Syoknya menyambut New Year* di Dataran Merdeka...


Ya Allah, aku telah berazam di awal tahun baru ini, kabulkanlah azamku itu disepanjang tahun...Salam Maal Hijrah!


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...