November 01, 2009

Satu Aliran


Baru-baru ini kedengaran semula konsep sekolah satu aliran diutarakan di media-media cetak & elektronik. Puncanya pakar sejarah Prof Khoo Kay Kim (tokoh sejarahwan berbangsa Cina tanpa prejudis yang memandang keharmonian kaum sebagai sesuatu yang amat penting dalam konteks negara majmuk Malaysia) menyuarakan pendapatnya mengenai keperluan sekolah satu aliran diwujudkan demi kepentingan nasional yang diharap akan menjuruskan masyarakat kepada konsep satu Malaysia.

Perkara yang sama pernah disuarakan sekitar 2001 dan tahun-tahun berikutnya namun tiada ‘penyelesaian’ berjaya diperolehi. Komponen-komponen dalam Barisan Nasional juga bercanggah pendapat dalam menyatakan kesediaan mereka terhadap konsep ini setiap kali ianya dibangkitkan. Begitu juga dengan Dong Ziong yang lantang menyelar, parti-parti pembangkang malah Tuan Guru Nik Aziz sendiri pernah mengatakan langkah mewujudkan sekolah satu aliran ini hanya akan menyekat kaum Cina dan India daripada menguasai bahasa ibunda mereka.

Persoalannya adakah konsep satu aliran ini hanyalah dibatasi oleh bahasa sesuatu kaum sahaja? Ataupun kebudayaan, ataupun lebih dalam daripada itu? Jika inilah punca persoalannya jangan bermimpi untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia.
Kaum-kaum bukan bumiputera (sebahagiannya) bukan sahaja memandang konsep ini sebagai satu bentuk ‘penindasan’ terhadap demokrasi budaya & bahasa mereka malah bimbang anak-anak mereka akan terpengaruh dengan budaya dan adat resam Melayu juga Islam. Ianya lebih sukar apabila ada ahli-ahli politik tanahair yang bersifat populis dan mementingkan kepolitikan masing-masing. MCA contohnya bila ditanya berkaitan perkara ini mahukan kerajaan tidak tergesa-gesa dalam perlaksanaannya malah Samy Vellu pula lebih keras dengan ‘menegur’ Tan Sri Muhyiddin supaya ‘berfikir panjang’ sebelum membuat sebarang pendirian mengenai perkara ini. Selagi ada para pemimpin kaum yang terus-terusan bersikap mementingkan kaum demi masa depan dan populariti politik masing-masing, selagi itulah usaha perpaduan kaum hanya bersifat kosmetik.

Konsep yang sama pernah disuarakan oleh Aminuddin Baki satu masa dulu ketika dia melihat penyatuan kaum tanpa batasan, melalui platform pendidikan adalah sangat-sangat diperlukan. Begitu juga dengan Datuk Onn Jaafar, nenda Dato’ Najib satu ketika dulu sewaktu mencadangkan kemasukan kaum-kaum India & Cina kedalam Umno atas dasar satu bangsa sehinggalah beliau dipinggirkan dari parti yang beliau sendiri tubuhkan. Pemimpin-pemimpin ini telah lama memandang kehadapan namun ianya tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin yang bersifat populis itu tadi. Diharap Dato’ Najib tidak lagi memandang kebelakang kerana sifat populis itu hanya akan merosakkan bangsa Malaysia pada masa hadapan, itupun sekiranya Bangsa Malaysia itu menjadi realiti dan bukan seperti momokan Bangsa Malaysia tajaan DAP.

Agaknya antara sebab-sebab inilah Malaysia hanya ditempatkan di kedudukan ke 52 dari segi Pendidikan (lihat Legatum prosperity Index 2009), jauh ketinggalan dari negara Singapura di tempat 26 yang lebih bersikap profesional dalam sistem pendidikannya (kerana tidak perlu lagi memikirkan masalah-masalah kepopularitian, partisan dsb).

Pendapat saya keperluan memperkasakan sekolah yang sedia ada amat perlu dititikberatkan. Biarlah asas perpaduan kaum itu terjadi dalam bentuk natural tanpa perlunya ada sogokan dan kekangan dari sesiapa. Walaubagaimanapun, penyediaan platform seperti sistem pendidikan sealiran adalah amat sesuai sekali untuk memupuk budaya nasional tanpa menyekat kebudayaan dan bahasa ibunda sesuatu kaum itu. Teringat sewaktu disekolah rendah dulu kawan-kawan dari pelbagai bangsa dapat belajar dan bermain dalam suasana yang harmoni tanpa perlu memikirkan tentang bahasa, budaya dan sebagainya. Malah sama-sama boleh ‘berpelukan’ dengan Ah Fu (Fu Koon Yao) tanpa rasa janggal dengan perbedaan bangsa, waktu dentist datang ke sekolah dengan peralatan-peralatan ‘canggih’nya.

Namun semuanya tidak lagi sama semasa berkarier di MBf Finance satu waktu dulu. Banyak ‘perkara’ yang perlu difikirkan agaknya sehinggalah perlunya ada diskriminasi, pembatasan pergaulan dan pemikiran.
Terlupa pulak sesuatu...pernah Prof Khoo berucap di UTP. Katanya kekuatan ketiga-tiga parti komponen dalam Barisan Nasional adalah terletak kepada parti-parti yang mewakili kaum-kaum utama di malaysia. Tidak sepatutnya ada penggabungan.....Agak berbeza dengan saranan beliau berkenaan konsep satu aliran. Pelik tu??

Ref:

http://www.prosperity.com/
http://tukartiub.blogspot.com/2009/11/semua-tukar-nama-kerna-nak-tipu-melayu.html (kalau nak tengok lawak hari ini...)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...