Panjang sungguh posting ini. Sebagai finalenya, berikut adalah beberapa
penghayatan dan pengertian bagi ibadah umrah bagi diriku yang boleh dikongsi
bersama dengan pembaca: -
Sesiapa yang
menunaikan haji dan umrah adalah tetamu Allah dan hadir kerana jemputanNya.
Selama ini telah banyak kali bonus yang diterima, duit yang telah cukup tapi
sekiranya tidak dijemput, maka tiadalah kesempatan untuk kita ke sana. Sebagai
hambaNya kita perlu banyak berdoa, berharap dan sentiasa bersedia kerana
sekiranya kita telah dijemput, segala-galanya di dunia ini akan kita tinggalkan
untuk menerima jemputan itu. Namun tidaklah layak kita berpergian sejauh
Baitul Haram dengan segala dosa dan kekejian yang masih berdaki di hati dan
fizikal kita. Jadi, perbanyakkanlah berdoa dan bertaubat. Keikhlasan hati adalah
antara penyebab kepada segala urusan kita dipermudahkan Allah SWT di Tanah Suci
Mekah.
Ilmu
pengetahuan (be it fikh, tasawuf atau tauhid) amat-amat perlu bagi mendapatkan
penghayatan dalam melakukan ibadah. Seseorang tidak akan terkesan dengan segala
perbuatan umrah dan haji apatah lagi menghayatinya tanpa ilmu pengetahuan bagi
sebab-sebab perlakuan umrah dan haji tersebut. Contohnya berlari-lari anak di
antara Safa & Marwah, Intipati doa tawaf setiap pusingan hatta beribtidda
bagi orang laki-laki. “Dan hendaklah kamu membawa
bekal dengan secukupnya, kerana sebaik-baik bekal itu ialah Takwa (memelihara
diri), dan bertakwallah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat
memikir dan memahaminya).” petikan daripada Surah al-Baqarah
ayat 197.
PENYERAHAN DIRI
Hidup ini
adalah penyerahan diri secara total kepada qada’ dan qadar Allah SWT iaitu sebagai
hamba kepada penciptanya. Segala ibadah hanya kepada Allah, segala permintaan
hanya kepadaNya. Begitulah konsep penyerahan diri secara ikhlas yang sepatutnya dilakukan terhadap Allah
SWT tanpa meninggalkan doa dan harapan. Berserahdirilah
kepada ketentuan-ketentuanNya, hukum-hukumNya, dan takdirNya. Setiap jiwa di
Tanah Haram akan merasai ujian dan setiap ujian itu harus ditangani dengan
konsep penyerahan diri ini. Setiap ujian adalah kifarah. Justeru kepayahan,
kesakitan, tekanan yang wujud semasa, sebelum atau selepas menunaikan haji dan
umrah adalah ujian Allah SWT untuk hamba-hambaNya. Sebagaimana yang terdapat dalam
sebuah hadis sahih daripada Abu Hurairah dan Abu Said Al-Khudri bahawa
Rasulullah SAW telah bersabda “Tidaklah seorang mukmin
dilanda kecemasan, kelelahan dan kesedihan, melainkan Allah SWT akan
menghapuskan segala kesalahannya.”
Ibadah umrah
dan haji mampu menjadi agen perubahan kepada keperibadian makhluk Allah. Itulah
yang dapat aku rasakan sehingga posting ini ditulis. Esok-esok aku berserah
lagi kepadaNya tetapi doaku untuk sentiasa diberikan petunjuk ke jalan yang benar tidak akan lagi lekang dari bibir. Kalaulah aku tahu ibadah umrah ini mampu mengubah
keperibadianku sebegini rupa, sepatutnya dari dulu lagi aku patut ke sana. Apabila kita mampu membuat diri terasa berdosa ianya adalah
hasilan dari sifat terpuji yang telah kita miliki. Ianya jelas merupakan agen
perubahan terbesar yang terhasil daripada ibadah umrah tersebut.
Berdoa dan
bertaubatlah dengan sebenar-benarnya kerana segala permintaan InsyaAllah akan
dikurniakan oleh Allah. Begitulah juga halnya walaupun kita tidak lagi berada
di Tanah Haram. Berdoalah kita sentiasa kerana Allah SWT pasti menunaikannya dengan
caraNya yang tersendiri.
Mengunjungi
Rasulullah SAW seolah-olah seperti kita bersemuka dengan Baginda. Namun hati
yang keras dengan segala macam dosa tidak akan dapat melihat Baginda seperti
yang sepatutnya. Jadi banyakkanlah mendengar kisah2 Baginda, banyakkanlah
memahami jerih payah SAW meninggikan syiar Islam sehingga kita ini diberikan
harta yang paling berharga – iaitu dilahirkan menjadi seorang Muslim. Begitu
juga dengan pengorbanan dan perjuangan sahabat-sahabat serta teman perjuangan
Rasulullah SAW patutnya dihayati dengan penuh keinsafan dan kesyahduan.
P/s – sebagai
panduan untuk diri ini (juga anda perhaps)..